Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Garis panduan Umat Islam menghadiri perayaan dan upacara keagamaan penganut agama bukan Islam adalah langkah penting bagi memastikan pegangan akidah umat Islam di negara ini teguh dan tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan prinsip sebenar.

Sehubungan itu, Wadah Percerdasan Umat Malaysia (WADAH) berkata, ia menyokong penuh garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Presidennya, Datuk Ahmad Azam Abd Rahman berkata, WADAH komited terhadap usaha kerajaan menjaga kesucian agama Islam dalam kalangan rakyat dan akan menjalankan pelbagai program bertemakan fiqh taayush (Budaya Damai dalam Kepelbagaian).

Jelasnya, ia bagi mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.

WADAH juga menurut beliau akan menganjurkan pelbagai program berbentuk pendidikan dan kesedaran untuk mempertingkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan akidah Islam dalam masyarakat majmuk.

“Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2025 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, memperteguh peranan JAKIM dalam menyediakan nasihat serta panduan yang jelas kepada umat Islam mengenai isu-isu akidah yang timbul, terutamanya dalam menghadapi cabaran dunia moden yang penuh dengan pelbagai ideologi dan fahaman,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Azam berkata, WADAH mengeratkan kerjasama dengan JAKIM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama) Datuk Seri Mohd Naim Mokhtar , serta agensi-agensi lain di bawahnya.

Menurut beliau, ini bagi memastikan garis sedia ada dapat dilaksanakan secara efektif kepada umat Islam di seluruh negara.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast