Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis memperketat kawalan keselamatan di pusat beli belah dan lokasi tumpuan umum di seluruh negara ekoran insiden tembakan di Setia Alam, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi terlibat sudah diarahkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

“Berkenaan kejadian semalam, polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen, polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

“Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

Anggota forensik PDRM membuat siasatan dan pemeriksaan di sekitar kawasan tembakan yang dilepaskan seorang lelaki warga tempatan malam tadi di pusat beli belah terkemuka di Setia Alam, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 09 FEBRUARI 2025.

Memetik laporan akhbar berkenaan, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam adalah keutamaan dan segala usaha sedang dilakukan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

“Kami faham bahawa timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” katanya.

Media melaporkan, pengunjung sebuah pusat beli belah di Setia Alam malam tadi digemparkan dengan insiden tembakan sebelum mereka diarahkan keluar dari lokasi tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, insiden berlaku sekitar jam 9.50 malam tadi apabila Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat daripada orang awam mengenai tembakan di pusat beli-belah tersebut.

Dalam satu kenyataan, polis sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden tembakan itu mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.

Ujarnya, polis menerima tujuh laporan yang dibuat saksi awam dan semua saksi telah memberi keterangan pada pihak polis.

“Siasatan mendapati mangsa, seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah itu, sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan sebelum suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan, mengenai kaki dan punggungnya.

“Walaupun cedera, mangsa dapat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.

“Di situ, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri,” katanya.

Hussein menambah bahawa suspek kemudian merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.

Semasa dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu untuk berhenti di tepi jalan sebelum melarikan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di 03-5520 2222. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here