KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak puas hati ditegur supaya mengalihkan barang dari kawasan kerja mangsa dipercayai menjadi punca seorang lelaki menembak tukang cuci di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam malam tadi.
Polis kini giat memburu suspek lelaki itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata, setakat ini motif tindakan suspek belum diketahui.
“Apa yang kita tahu, dia menembak mangsa hanyalah kerana mangsa menegurnya meletakkan barang di tempat mangsa.
“Jadi hasil risikan mungkin mendedahkan suspek dalam pengaruh barang terlarang,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan sama ada suspek memiliki senjata api secara sah atau sebaliknya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak perlu bimbang kerana keadaan dijamin terkawal.
“Buat masa ini kita sedang menyiasat tindakan susulan daripada Polis Selangor yang dibantu pihak Polis Bukit Aman.
“Insya-Allah kita dapat menyelesaikan kes ini dalam masa yang terdekat.
“Arahan daripada Ketua Polis Negara pagi tadi kepada semua ketua polis negeri untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan hanyalah untuk menambahkan keyakinan para pengunjung kepada semua pusat membeli-belah,”-ujar beliau.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette