KUANTAN – Latihan dan perkaderan generasi pelapis UMNO bukan satu tugas yang boleh dibuat sambil lewa tetapi harus konsisten.
Lantaran itu, pimpinan UMNO di peringkat atas mahupun akar umbi mestilah senada melaksanakan tanggung jawab yang berat ini kerana masa depan dan daya saing UMNO di pentas politik nasional atau antarabangsa, bergantung kepada komitmen pemimpin semasa menyediakan pelapis.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melahirkan pimpinan pelapis bagi menjaga kesucian agama Islam mahupun kepentingan hak hak Melayu adalah fardu kifayah pimpinan semasa.
“Sejarah telah membuktikan hanya parti parti politik dunia yang sedar dan insaf akan tanggungjawab ini akan kekal relevan walaupun ditindas atau diancam oleh musuh politik,” katanya yang merakamkan ucapan tahniah kepada UMNO Bahagian Johor Bahru di atas kejayaan peluncuran Akademi Jaya Bersama (AJS).
AJS adalah sekolah politik UMNO bahagian berkenaan yang bermatlamat memperkasa serta mengukuhkan lagi UMNO..
“Marilah kita bersama-sama terus tanpa jemu berjuang dengan penuh iltizam melahirkan pemimpin muda, pemimpin pelapis dan pemimpin berkualiti demi membuktikan UMNO kekal terus bersetia dan berkhidmat, bukan saja kepada negara ini tetapi kepada masa depan orang Melayu dan rakyat Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette