KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 44 laporan di seluruh negara membabitkan kerugian RM33 juta berhubung skim penipuan pelaburan mata wang kripto, UKVXE.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes terbaharu melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang kerugian RM2.56 juta akibat pelaburan itu.
“Skim pelaburan itu yang kononnya berasaskan mata wang kripto menawarkan pulangan pelaburan antara 10 peratus hingga 50 peratus.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa membuat sejumlah 26 kali transaksi bayaran ke 14 akaun bank dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM2,560,000 atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza.
“Setelah membuat pembayaran, mangsa dapat melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan namun mangsa diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran apabila ingin membuat pengeluaran wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramli berkata, mangsa menyertai pelaburan itu sejak Ogos tahun lalu selepas melihat iklan di Facebook.
Menurutnya, selepas membuat pembayaran, mangsa teruja melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan namun terpaksa berputih mata kerana tidak dapat mengeluarkan pulangan berkenaan.
Ia kerana, mangsa diminta untuk membuat pelbagai pembayaran dengan pelbagai alasan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan daripada akaun pelaburannya.
Ramli berkata, setakat ini skim pelaburan terbabit mengakibatkan kerugian RM33 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan tersebut diminta menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada syarikat terbabit.
“JSJK mengulangi bahawa semua pelaburan yang kononnya untuk mata wang kripto, dalam hampir ke semua kes yang dilaporkan, adalah sebenarnya langsung tidak membabitkan pelaburan sedemikian.
“Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan laman web mengenai laba yang diperoleh sehingga ada yang mencecah puluhan juta ringgit,” katanya.
Orang ramai turut diingatkan semua pelaburan yang kononnya untuk mata wang kripto, dikesan dalam hampir ke semua kes yang dilaporkan sebenarnya langsung tidak membabitkan pelaburan sedemikian.
“Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan di laman sesawang mengenai laba yang diperoleh sehingga ada yang mencecah puluhan juta ringgit.
“Sindiket menggunakan teknologi terkini untuk memperdaya mangsa sehingga menyebabkan mangsa mempercayai mereka telah mendapat keuntungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette