Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (empat kiri) bersama mangsa-mangsa penipuan pelaburan mesin layan diri tidak wujud pada sidang media di Ibu Pejabat MHO, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Sejumlah 54 aduan diterima berhubung skim pelaburan mesin layan diri minuman dan snek yang disyaki tidak wujud, menyebabkan kerugian mencecah lebih RM5.2 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat tempatan berkenaan menggunakan modus operandi yang menawarkan tiga pilihan kepada mangsa-mangsa untuk memulakan pelaburan mereka.

Tambahnya, skim pelaburan ini diperkenalkan kepada mangsa melalui sesi Zoom Meeting, di mana mereka diberikan penerangan mengenai potensi keuntungan serta cara untuk menyertai pelaburan tersebut.

“Syarikat ini menawarkan tiga pakej pelaburan iaitu yang pertama, mereka dikehendaki membayar wang sebanyak RM30,000 dimana mereka akan dibekalkan satu mesin (vending machine) dan diberikan kontrak minimum tiga tahun dengan tiga tahun jaminan.

“Selain itu, mereka juga ditawarkan dengan servis percuma dan pulangan wang sebanyak RM1,300 sebulan.

“Pakej kedua pula, mangsa dikehendaki membayar RM25,000 dengan tawaran yang sama serta profit bulanan sebanyak RM1,000 sebulan,”.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di ibu pejabat MHO di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kategori ketiga yang ditawarkan kepada mangsa menimbulkan kemusykilan kerana mereka diminta membayar sekurang-kurangnya RM1,000 dengan janji pulangan sebanyak 4 peratus.

Ini kerana kesemua mangsa tidak dimaklumkan tentang identiti dan deskripsi mesin yang dijanjikan syarikat berkenaan.

Menurut Hishamuddin, sebilangan pelabur menyatakan bahawa walaupun terdapat mesin layan diri yang disediakan oleh syarikat berkenaan, jumlahnya tidak sepadan dengan jumlah pelabur yang menyertai skim tersebut.

Malah ada pelabur langsung tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang dijanjikan benar-benar wujud atau tidak.

“Mangsa-mangsa mengesyaki janji yang diberikan oleh syarikat itu tidak benar kerana rata-rata daripada mereka hanya menerima bayaran dividen selama 3 bulan dan tidak menerima lagi sebarang bayaran seperti dijanjikan.

“Sindiket ini masih giat beroperasi melalui media sosial seperti Whatsapp dan Facebook,”.

Justeru itu, jelas beliau, pihak berkuasa digesa agar melakukan siasatan secara menyeluruh dan tidak mengambil ringan agar tiada lagi mangsa terpedaya dengan penipuan skim berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here