Tuminah membantu kanak-kanak memilih keperluan persekolahan.

MELAKA – Seramai 116 kanak-kanak kurang bernasib baik diraikan pada program membeli keperluan barangan persekolahan sesi baharu bermula bulan depan.

Penerima bantuan program Kembali Ke Sekolah di bawah tanggungjawab sosial korporat Pelabuhan Tanjung Bruas (TBP) itu menyifatkan, tajaan tersebut dapat membantu meringankan beban dihadapi.

Ibu tunggal, Nurul Farhana Zaini, 37 berkata, bantuan kelengkapan sekolah bernilai RM165 diterima anak sulungnya itu amat dihargai di sebalik kos sara hidup yang semakin meningkat.

Nurul Farhana Zaini

“Tahun ini, semua tiga akan saya berusia 11, 7 dan 4 tahun akan mula bersekolah dan ia memerlukan kos permulaan sangat tinggi.

“Bayangkan untuk dua anak yang bersekolah rendah sahaja, perbelanjaan beli buku tidak masuk pakaian sahaja sudah lebih RM500,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi. Hadir sama Penolong Pengurus TBP Mohammad Nizam Ibrahim.

Mengulas lanjut Nurul Farhana berkata, dia tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan tiga anak yang masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada pencen arwah suami kira-kira RM1,000 sebulan.

“Lagi pun, saya juga mempunyai masalah jantung dan doktor menasihati untuk tinggal bersama ibu bapa kerana khuatir jika berlaku kejadian buruk ketika menjaga anak sendirian,” tambahnya lagi.

Seorang lagi penerima golongan ibu tunggal, Rose Anida Samsudin, 42, bersyukur terpilih mendapat bantuan kali pertama itu buat anaknya, Anggun Insyirah Zarizan, 9.

Rose Anida Samsudin

“Ini adalah bantuan pertama yang saya terima walaupun tidak layak mendapat bantuan bulanan lain kerana arwah suami meninggalkan pencen bulanan RM1,300 untuk menyara saya dan dua anak.

“Syukurlah kerana ia dapat mengurangkan beban kerana kos pakaian sekolah hari ini pun dah mahal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here