MELAKA – Lebih banyak sektor korporat di negeri ini digalak membantu dalam penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat setempat.
Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi berkata, sebagai contoh, program Kembali Ke Sekolah (BTS) amat bersesuaian dianjurkan ketika ini.
“Kurang dua minggu sahaja lagi sesi baharu persekolahan akan bermula pada pertengahan Februari, jadi rata-rata ibu bapa tentunya sedang berkira-kira untuk membuat persiapan perbelanjaan anak-anak mereka.
“Saya harap, sektor korporat juga dapat perhebatkan CSR mereka melalui program BTS bertujuan memberi bantuan dan sumber bagi keluarga berpendapatan rendah dari segi sokongan pendidikan,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250209-WA0117.jpg)
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program BTS anjuran Pelabuhan Tanjung Bruas (TBP), Tanjung Kling yang menaja kelengkapan persekolahan kepada 116 penerima di sini hari ini.
Senarai penerima terdiri daripada kumpulan B40, ibu tunggal dan anak yatim piatu yang tidak pernah mendapat mana-mana bantuan sebelum ini.
“Inilah contoh bila dalam sesebuah kawasan itu ada kemajuan industri yang mana mereka akan bantu ekonomi setempat melalui program-program CSR .
“Keuntungan diperolehi akan memberi manfaat pula penduduknya barulah pembangunan komuniti itu akan sentiasa mendapat sokongan masyarakat setempat,” tambahnya.
Sehubungan itu, Tuminah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berharap lebih ramai sektor korporat mengikut langkah sama untuk membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette