Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar usaha memperkukuh akidah dan iman umat Islam di Malaysia dipergiat akan segera digerakkan di bawah agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” kata Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menambah, agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memperhebat usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah.

“Titah DYMM Sultan Selangor agar umat Islam sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

“Ia termasuk TV Alhijrah dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im merujuk kepada titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.

Baginda mengingatkan, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, memerlukan toleransi dalam beragama yang tidak seharusnya dikompromi.

Selaku Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman masing-masing serta mengingatkan setiap rakyat supaya menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Jakim juga diarahkan untuk aktif bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.

“Pada masa sama, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here