Vanessa Reynauld. Gambar Instagram.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Vanessa Reynauld berkata, dia mendengar enam das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat dalam insiden mencemaskan di pusat membeli belah Setia Alam, malam tadi.

Kata artis berkenaan, kejadian itu berlaku bersebelahan dengan kedai yang dimasukinya bersama teman lelaki, kakak dan seorang anak saudara sebelum diarahkan berlindung dalam sebuah kedai.

Vanessa berkata, mereka kemudian melarikan diri dan menyorok di situ sebelum dibenarkan pulang apabila keadaan agak selamat.

“Kejadian berlaku lebih kurang 20 minit dan kami mendengar enam das tembakan. Teman lelaki saya melihat sendiri mangsa cedera di bahagian kaki.

“Pertama kali berhadapan dengan situasi ini dan ia sangat menakutkan. Saya telah selamat pulang, moga mangsa juga selamat,” katanya menerusi Instagram Story (IGs).

Turut berada di lokasi terbabit semasa kejadian ialah anak kepada pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz iaitu Dahlia Arissa, 15, dan rakannya.

Pelakon itu dalam hantaran video TikToknya berkata, beliau tiba di pusat membeli belah tersebut untuk menjemput anaknya dan rakan bernama Amira serta bersyukur kerana kedua-duanya selamat.

“Anak saya kata semua orang diarahkan keluar. Ingat ya adik (Dahlia), jangan sesekali panik jika berlaku kecemasan,” ujar beliau dalam hantaran itu.

Media melaporkan, pengunjung di sebuah pusat beli-belah tersebut dikejutkan dengan satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di situ.

Kejadian mengakibatkan seorang pekerja pembersihan cedera akibat ditembak.

Sementara itu, polis sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di Shah Alam itu mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah.

Ujarnya, polis menerima tujuh laporan yang dibuat saksi awam dan semua saksi telah memberi keterangan pada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here