KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO membayangkan sukar untuk Barisan Nasional (BN) terutama UMNO Johor bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata demikian selepas mendakwa Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad sungguh tidak cermat dalam membuat kenyataan.
“Pepatah Melayu sebut – bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Lantaran itu, beliau meminta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan terutama melibatkan UMNO negeri itu dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri nanti.
Hafiz menyifatkan AMK dan Parti Amanah Negara tidak memahami dinamik politik di negeri itu.
“Tempoh hari Parti Amanah Negara membuat tuntutan berkaitan lantikan Exco Kerajaan Negeri.
“Kali ini AMK pula melabel UMNO Johor sebagai ‘Abang Long’ pula.
“Ditambah dengan “Tiada istilah negeri Johor milik parti tertentu atau parti tertentu lahir di sini”, jelas menunjukkan tahap hormat saudara terhadap institusi UMNO Johor yang pihak saudara tuntut untuk ada kerjasama yang lebih,” katanya.
Ia kerana, ujar beliau, Johor berbeza.
Muhammad Faezuddin dalam kenyataannya hari ini mahu BN terutama UMNO Johor perlu adil dan tidak menjadi ‘Abang Long’ dengan mendominasi kerusi berpotensi menang dalam pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.
Katanya, rundingan pembahagian kerusi nanti perlu mempraktikkan prinsip menang-menang melibatkan kedua-dua belah gabungan parti politik berkenaan.
“Tiada satu pihak pun sepatutnya menjadi ‘abang long’ yang mendominasi atau hanya tumpu merebut kerusi-kerusi gred A yang memiliki potensi besar untuk memenangi pilihanraya.
“Tiada istilah negeri Johor milik parti tertentu atau parti tertentu lahir di sini,” katanya satu dalam kenyataan. – MalaysiaGazetteAM