PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan penghargaan dan menyanjung tinggi pengorbanan barisan penjawat awam yang bertungkus-lumus dalam memastikan persiapan negara sebagai Pengerusi Asean berjalan lancar dan sempurna.
Menurut Perdana Menteri, penjawat awam ketika ini perlu menguruskan ratusan program berkait dengan kepengerusian Asean dengan cekap serta pada kadar terbaik yang memerlukan penugasan lebih berbanding biasa.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyaksikan persiapan yang dilakukan ratusan penjawat awam semalam yang bertugas ketika cuti hari minggu dalam persediaan menerima kunjungan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke negara ini.
“Saya tengok puluhan penjawat awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis…ramai yang bertugas dan dengan senyum rapi untuk mempersiapkan acara kehadiran Presiden Turkiye.
“Hal ini tak masuk dalam berita…ratusan staf (penjawat awam) pada hari minggu masih bekerja bertungkus-lumus untuk pastikan nama negara terbaik, persiapan rapi dan orang lihat tahap kecekapan kita.
“Saya salute (tabik) saudara (penjawat awam) bertugas dengan baik…saya pilih sebut ini kerana ratusan ribu di semua peringkat yang mempersiapkan dan kadang-kadang hal baik ini tidak pernah dapat liputan di media atau media sosial.
“Yang ada hanyalah dipilih beberapa kes keterlanjuran atau kesalahan. Tidak ada salahnya besarkan kesalahan (penjawat awam)…tapi tidak adil untuk tidak melaporkan tahap kecekapan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan persiapan yang dibuat penjawat awam di negara ini dalam menyambut tetamu-tetamu negara sebagai antara yang terbaik pernah disaksikan beliau.
“Saya lihat umpamanya saya sudah ke berpuluh-puluh buah negara…tahap persiapan kita, acara-acara kita antara terbaik yang dapat saya saksikan.
“Walaupun tidak semewah dan sehebat beberapa negara, sebab ada sambutan di luar negara kadang-kadang mewah… tapi tahap kecekapan dan disiplin serta kerapian kita itu sangat membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette