PUTRAJAYA – Seorang bekas duta Malaysia ke Arab Saudi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mengetahui bentuk dana yang ditawarkan oleh keluarga diraja Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Razak, 15 tahun lalu.
Profesor Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf, 81, berkata, bekas Perdana Menteri kelihatan teruja ketika memaklumkan sendiri bahawa pemerintah negaranya akan menyalurkan bantuan dana kepada beliau.
Menurut saksi pembelaan kelima (DW5), perkembangan itu diberitahu oleh Najib selepas menghadiri mesyuarat tidak rasmi bersama Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud di Riyadh pada Januari 2010.
“Saya cuma tahu bantuan dana daripada keluarga diraja Arab Saudi, apa bentuknya saya tidak tahu,” ujar beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada sesi pemeriksaan balas.
Syed Omar turut ditanya maklumat khusus yang dibentangkan pada mesyuarat tidak rasmi tersebut dan siapa yang menyediakan agenda mesyuarat.
Saksi berkata, agenda mesyuarat disediakan oleh kerajaan Arab Saudi dan beliau hanya mengetahui berkaitan tambahan kuota jemaah haji serta bantuan yang akan disalurkan namun tidak tahu dalam bentuk apa.
Ujar saksi berkenaan, Raja Abdullah (Almarhum) tertarik dengan cara hidup di Malaysia.
Kamal Baharin: Saya cadangkan berdasarkan agenda No. 5, bantuan dana yang dimaksudkan itu sebenarnya Malaysia yang minta.
Syed Omar: Saya tidak tahu.
Kamal Baharin: Pertolongan dalam bentuk apa?
Syed Omar: Saya tak tahu juga.
Kamal Baharin: Setuju bahawa apa yang Raja Abdullah beritahu Najib dalam perbualan itu, Profesor tak dengar?
Syed Omar: Setuju, saya berdiri jauh di belakang mereka.
Terdahulu, ketika sesi pemeriksaan utama, saksi diminta oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mengesahkan beberapa keping gambar sekitar kunjungan Najib dan beberapa pihak lain ke Arab Saudi.
Antara gambar itu menunjukkan Najib bersama-sama Raja Abdullah dan di tengah-tengah mereka ialah penterjemah rasmi istana.
“Terdapat juga gambar Najib memakai selempang berwarna hijau iaitu anugerah antarabangsa tertinggi dari Arab Saudi,” ujarnya.
Gambar lain yang dikemukakan ialah bekas Perdana Menteri melakukan tawaf ketika menunaikan umrah dalam lawatan yang sama namun tidak ingat tarikhnya.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini. – MalaysiaGazette.