PUTRAJAYA –Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa supaya memperkukuhkan nilai integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya selari dengan matlamat Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah.
“Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja. Jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-43 Tahun 2025, hari ini.
Teks ucapan Anwar dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, matlamat kerajaan adalah jelas dan amalan rasuah serta pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan ditangani dengan tindakan tegas.
“Saya ingin mengingatkan bahawa integriti dan amanah adalah tunjang utama dalam perkhidmatan awam.
“Insiden melibatkan enam pegawai JKDM dalam Ops Airways yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan di Pusat Kargo KLIA harus dijadikan iktibar,” tambahnya.
Anwar merujuk kepada pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik (vape) dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.
SPRM turut membekukan 12 akaun dan beberapa aset disita susulan penahanan enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat terbabit dengan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Anwar menambah, JKDM memainkan peranan strategik dalam memacu pembangunan negara melalui kutipan hasil dan memperkasakan rantaian perdagangan yang selamat.
Tegas beliau, JKDM yang berperanan sebagai pengumpul pendapatan negara, kerajaan perpaduan telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Belanjawan 2025.
“Ini adalah antara inisiatif memperkukuh usaha Kerajaan untuk melindungi kekayaan negara dengan memastikan tiada ketirisan wang rakyat,” katanya.
Anwar dalam ucapan tersrbut memaklumkan bahawa kutipan hasil JKDM pada 2024 adalah sebanyak RM65.57 bilion, peningkatan RM10.40 bilion berbanding tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette