Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

MERSING – Kementerian Kerja Raya menyasarkan sifar projek sakit bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mahu projek-projek terbabit disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan khususnya kontraktor yang menerima projek dalam tempoh dua tahun ini.

Jelasnya, langkah tersebut bertujuan mengelakkan projek terbabit lewat malah mengalami lanjutan tempoh masa.

“Projek-projek perlu disiapkan lebih awal dari jadual ditetapkan sama ada 10 hari, sebulan, dua atau tiga bulan lebih awal dan bukan disiapkan dalam masa tambahan.

“Oleh itu saya menyeru semua kontraktor yang telah dianugerahkan projek dalam setahun dua ini menyegerakan penyiapan projek ahead of time, bukan hanya mengikut jadual,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian dalam sidang akhbar semasa lawatan kerja di Pejabat JKR Daerah Mersing di sini hari ini.

Beliau menyifatkan menyiapkan projek mengikut jadual adalah cara lama dan pada tahun ini budaya kerja seperti itu perlu diubah dengan menyiapkan projek lebih awal daripada tempoh masa yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad  memberitahu, pembinaan bangunan baharu dengan kos RM50.1 juta dan tiga projek penyenggaraan bangunan melibatkan kos RM2.1 juta akan dilaksanakan dalam tahun ini.

Antaranya kata beliau, projek bina serta naik taraf kuarters Desa Bina Diri dan naik taraf infrastruktur Pulau Besar serta pembaikan jeti Pulau Pemanggil.

Bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di bandar ini pula katanya, tiga projek jalan raya dengan kos RM477 juta dikenal pasti untuk tahun ini melibatkan pembinaan dua jalan baharu dan menaik taraf satu jalan sedia ada.

“Bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, lapan projek diluluskan bagi tahun ini iaitu tujuh kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan satu kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen (BBP) dengan nilai keseluruhan RM7.2 juta,” ujarnya.

Bagi jalan negeri pula katanya, lapan kerja penyelenggaraan bernilai RM3.75 juta telah dirancang untuk dilaksanakan pada ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here