JOHOR BAHRU – Dua cedera dalam kemalangan yang disebabkan sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pondok pengawal di Pasar Taman Universiti, Skudai di sini semalam.
Kejadian tersebut tular dalam Facebook Community Roda Johor-CRJ yang memaparkan kereta itu melanggar pondok pengawal hingga mengakibatkan struktur bangunannya senget dan hampir runtuh.
Difahamkan kejadian tersebut mengejutkan orang ramai yang berada di berdekatan pasar awam tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut daripada pemandu kereta berkenaan, petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati, kereta dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dalam perjalanan dari arah Mutiara Rini menuju ke Taman Universiti mengalami kerosakan pada sistem brek lalu menyebabkan hilang kawalan.
“Kejadian itu mengakibatkan, kereta jenis Honda Civic 1.6 tersebut merempuh pintu pagar dan pondok pengawal pasar awam serta melanggar pengawal keselamatan yang berusia 21 tahun.
“Pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan di bahagian dada, tangan kiri dan kanan, kaki kanan manakala pengawal keselamatan mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri dan kanan serta muka,” katanya dalam kenyataan
Menurut beliau, kedua-dua mangsa sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (RULE 10 LN 166/59), ujarnya.- MalaysiaGazette