Rafique Rashid Ali Foto AIZAT ZAINAL, 12 November 2024.

KUALA LUMPUR – Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu dijalankan secara terbuka supaya rakyat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sebalik penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, banyak persoalan yang timbul berhubung isu ini memerlukan penjelasan yang konkrit termasuklah siapa yang menentukan harga jualan, mengarahkan pembelian dan pihak yang mendapat untung.

“Baru-baru ini timbul persoalan tentang jumlah saham yang dijual pada harga rendah dan dibeli balik dengan harga tinggi. Setakat ini kita belum dapat penjelasan.

“Penjelasan penuh amat penting walaupun KWSP ada respon secara umum. Persoalan paling penting yang belum dijawab adalah siapa mengarahkan penjualan saham pada harga X dan pembelian pada harga Y? Dan siapa yang buat untung”,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di ibu kota, hari ini.

Ujarnya yang juga merupakan seorang peguam, PAC merupakan platform yang tepat untuk menjawab semua persoalan berkenaan kerana jawatankuasa tersebut tidak hanya diwakili oleh pembangkang sahaja malah turut didengari daripada pihak kerajaan.

“(Jadi) Jangan takut berhadapan dengan PAC walaupun seorang Menteri,” katanya lagi.

Baru-baru dilaporkan, PAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga MAHB oleh KWSP.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Anthony dan individu yang berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat itu.

Katanya, prosiding dijangka akan bermula minggu kedua Febuari.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here