Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli ketika hadir melakukan pemeriksaan dokumen kenderaan pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina Tahun 2025 di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 FEBRUARI 2025

SUNGAI BESI – Operasi Khas Tahun Baharu Cina Tahun 2025 yang berakhir malam tadi menyaksikan sejumlah 107,014 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, notis saman berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

“Statistik tersebut adalah hasil daripada 429,423 kenderaan yang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 724 kenderaan telah disita,” katanya dalam sidang media selepas operasi khas berkenaan berakhir di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan, malam tadi.

Menurut Aedy Fadly, Operasi Khas Tahun Baharu Cina Tahun 2025 menyaksikan penurunan pengeluaran notis saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 107,014 notis berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.

Statistik ini menunjukkan terdapat peningkatan tahap dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia melakukan pemeriksaan dokumen kenderaan pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina Tahun 2025 di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 FEBRUARI 2025

Antara kesalahan-kesalahan yang direkodkan berkaitan pelesenan kenderaan (lesen tamat tempoh dan tiada pelindungan insuran) sebanyak 29,995 notis; pemandu tiada lesen dan tamat tempoh (20,414); brek dan tayar botak (15,610) dan lain-lain kesalahan (9,052).

Kesalahan utama pula adalah 3,994 notis; kesalahan berkaitan kenderaan barangan (3,161); kesalahan berkaitan kenderaan perkhidmatan awam (bas) (241) dan kesalahan gagal mematuhi larangan pemanduan kenderaan barangan (140).

“Kesalahan brek dan tayar botak antara yang sering kita kesan sepanjang operasi, bukan sahaja operasi Tahun Baharu Cina.

“Jadi, diingatkan semua pemilik atau syarikat untuk memeriksa dahulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan agar dua elemen ini dititipkan sebelum apa-apa pergerakan,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here