Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Dewan Theatreatte, Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Seorang penjaga stor stok Ketamin dan Syabu ditahan dalam satu serbuan di kondominium mewah di Batu Caves, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, polis turut merampas dadah bernilai RM11.43 juta dalam serbuan itu.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membungkus dadah dalam paket teh Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sebanyak 88.816 kilogram syabu dan 171.755 kilogram ketamin telah dirampas dan ia dianggar boleh digunakan oleh seramai 1.02 juta penagih dadah,” katanya salam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Kok Chin turut memberitahu, suspek seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, menerima gaji asas sebanyak RM10,000 dan menerima komisyen bermula RM2,000 bergantung kepada jumlah dadah yang diedarkan kepada pelanggan.

“Kami juga percaya mereka telah beroperasi sejak Disember tahun lalu dan menjadikan sebuah kondominium mewah yang disewa dengan harga RM2,500 sebulan.

“Kondo itu juga dipercayai menjadi lokasi penyimpanan bekalan yang diperoleh dari sempadan utara tanah air sebelum diedarkan ke sekitar Lembah Klang, dengan kemungkinan turut diseludup ke negeri lain,” tambahnya.

Selain rampasan dadah, pihaknya juga telah menyita wang tunai berjumlah RM1,100 serta sebuah kereta jenis Toyota Fortuner di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.

Bagaimanapun, semakan lanjut menunjukkan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Suspek kini sedang direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here