KUALA LUMPUR – SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah menyalurkan kira-kira RM3.6 bilion dalam pembiayaan yang diluluskan untuk tahun kewangan 2024 (FY2024) dengan peningkatan sebanyak 35.1% berbanding tahun 2023.

Pembiayaan ini disalurkan kepada golongan sasar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan, merangkumi sektor strategik utama termasuk bumiputera, teknologi & digital, peralihan hijau, halal dan pelancongan.

Inisiatif ini sejajar dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia yang menitikberatkan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dalam memberi impak pembangunan yang lebih meluas.

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen
kami dalam menggerakkan peruntukan RM1.7 bilion daripada Belanjawan Negara 2024 yang disasarkan kepada segmen PMKS.

“Melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”), kami telah memberi kesan positif kepada hampir 3,400 usahawan pada tahun 2024 melalui program kapasiti dan keupayaan.

“Kami juga berjaya mengukuhkan lagi kedudukan SME Bank di peringkat global dengan pelantikan CEDAR sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN (COE) bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, yang telah disenarai pendek sebagai salah satu Priority Economics Deliverables (PED) untuk Malaysia ASEAN
Chairmanship 2025,” ujarnya.

Berdasarkan indikator PMF, prestasi SME Bank sepanjang 2024 adalah selaras dengan mandatnya untuk memberi perkhidmatan kepada segmen yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan melalui pelbagai inisiatif termasuk program pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan dan pembinaan serta sektor utama lain.

SME Bank turut memperkasa usahawan menerusi sesi libat urus, bimbingan berstruktur dan khidmat nasihat pakar yang telah memberi manfaat kepada hampir 18,000 usahawan.

Inisiatif strategik SME Bank juga telah menyumbang kepada limpahan positif ke dalam ekonomi dengan lebih 100,000 jumlah pekerjaan dijangka diwujudkan dan dikekalkan.

Program Pembangunan Keusahawanan Halal telah memberi manfaat kepada lebih 130 peserta sejak diperkenalkan pada tahun 2023, manakala
Program Pembangunan Vendor telah merekodkan penyertaan 106 vendor dengan jumlah kelulusan pembiayaan melebihi RM13.6 juta sejak 2022.

Setakat 2023, Program Pembangunan Vendor mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17.5% kepada RM204 juta manakala setakat Disember 2024, Program Eksport Perniagaan (BEP), satu program intervensi berstruktur yang dirangka oleh KUSKOP telah memudahcarakan 83 syarikat dengan jumlah jualan eksport melebihi RM192 juta merentasi pasaran utama global seperti Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan
Amerika Syarikat.

Selain itu, SME Bank iTEKAD ISHRAF Bank Negara Malaysia yang menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasakan komuniti B40, khususnya usahawan Asnaf telah menerima kira-kira RM5 juta dana daripada rakan kongsi strategik.

Inisiatif ini telah mencatatkan peningkatan dalam bilangan peserta daripada sebanyak 20 peserta bagi ISHRAF 1.0 dalam satu negeri hingga ke 79 peserta untuk ISHRAF 2.0 merentasi enam negeri kepada 400 peserta di serata Malaysia.

Mohammad Hardee menambah, pada tahun 2025, SME Bank akan memperluas sokongan pembiayaan dan sokongan melangkaui pembiayaan dengan berfokuskan keterangkuman kewangan bagi PMKS dalam sektor strategik utama seperti bumiputera, teknologi, alam sekitar, sosial dan
tadbir urus (“ESG”), halal serta pelancongan.

Ini untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memperkukuh momentum positif yang telah dicapai oleh SME Bank pada tahun 2024 dan seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here