GAZA – Kumpulan-kumpulan Palestin mengecam rancangan Presiden Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan menempatkan semula penduduknya dan menyifatkan ia sebagai “pengisytiharan perang” yang bertujuan untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah air mereka.
“Kenyataan Trump baru-baru ini mencerminkan wajah sebenar perkongsian Amerika-zionis dalam pencerobohan ke atas rakyat kita,” kata Jawatankuasa Bertindak Susulan Negara dan Islam, yang menjadi payung bagi kebanyakan kumpulan Palestin.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menggesa Sidang Kemuncak Arab pada 27 Februari ini untuk “mengambil langkah praktikal dan memainkan peranan penting dan berkesan terhadap rancangan jenayah (Trump)”.
“Keteguhan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan di dalam Israel memerlukan sokongan politik dan material secara langsung untuk menguatkan penentangan mereka dan mengukuhkan kedudukan mereka di tanah air ini,” kata mereka.
Bercakap kepada pemberita di Air Force One baru-baru ini Trump berkata, beliau “komited untuk membeli dan memiliki Gaza,” mencadangkan sebahagian daripada enklaf itu diperuntukkan kepada negara Timur Tengah yang lain untuk pembinaan semula.
Kenyataan beliau telah ditolak secara meluas oleh masyarakat antarabangsa, termasuk semua negara Arab, dan kebanyakan negara Eropah.
Perjanjian gencatan senjata telah dilaksanakan di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan perang genosid Israel, yang telah membunuh 48,200 orang dan meninggalkan kawasan itu dalam runtuhan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada November tahun lalu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoavav Gallant kerana jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap kawasan itu. – MalaysiaGazette