Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyifatkan kenyataannya semalam supaya tiada parti yang menjadi Abang Long mendominasi pemilihan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) disalahertikan.

Beliau terkilan kerana kenyataannya itu tidak dibaca secara keseluruhan termasuk memahami mesej dan konteks yang sebenar sebaliknya ada pihak melenting.

“Saya sangka pemimpin-pemimpin UMNO di Johor cerdik pandai patut baca kenyataan penuh saya sebelum melenting tak tentu pasal. Rata-rata semuanya respon disebabkan baca tajuk semata. Khususnya merujuk kepada perkataan ‘Abang Long’.

“Walhal kenyataan saya bersifat umum. Merujuk kepada semua parti baik UMNO-BN atau PH-Keadilan, DAP dan Amanah supaya tidak menjadi ‘Abang Long’ sekiranya ingin bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

“Melainkan UMNO Johor terasa kerana memang benar tindak tanduk mereka seperti itu bak kata pepatah, siapa makan cili, dia terasa pedasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyarankan BN berganding bahu dengan PH dalam pilihan raya akan datang dan diyakini menang lebih banyak kerusi.

Beliau kemudian bersetuju saranan Noor Azleen itu tetapi mahu kerjasama tersebut dimulakan sekarang dengan memberi jawatan kepada pemimpin dan wakil PH peringkat kerajaan negeri serta daerah.

Faezuddin juga menyatakan pendapatnya yang bersetuju dengan kerjasama itu tetapi perundingan pembahagian kerusi nanti, prinsip menang-menang harus dipraktikkan.

“Tiada satu pihak pun sepatutnya menjadi ‘Abang Long’ yang mendominasi atau hanya tumpu merebut kerusi-kerusi gred A yang memiliki potensi besar untuk memenangi pilihan raya. Tiada istilah negeri Johor milik parti tertentu atau parti tertentu lahir di sini,” ujar Faezuddin lagi.

Susulan itu, Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan secara sinis menyarankan AMK Johor bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor nanti.

Mohd Lassim menganggap kenyataan AMK tersebut sebagai gelojoh dan mementingkan diri sendiri.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, sepatutnya pemimpin UMNO yang melenting dengan kenyataannya membaca dan memahami terlebih dahulu.

“Iqra, bacalah. Itulah kalam pertama malaikat Jibril Alaihissalam kepada Rasulullah SAW. Kita sebagai pengikut Baginda sepatutnya mengambil ia sebagai satu hikmah menuntut supaya membaca dan menimba ilmu.

“Tapi sayang, sebahagian orang pada hari ini lebih gemar sekadar mendengar dan menerima bulat-bulat sesuatu berita tanpa membaca penuh atau selidik terlebih dahulu,” katanya.

Beliau mendakwa, rakyat ketika ini hairan kerana semangat perpaduan atas kerjasama politik PH dan BN tidak diterjemah di negeri ini seperti yang dilakukan di Melaka, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Walhal Melaka yang tubuh kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum Johor pun boleh sahut semangat perpaduan.

“Sebahagian pemimpin UMNO Johor kata, PH tamak mahu tanding semua kerusi, mahu semua jawatan. Sedangkan siapa sekarang ini yang tidak mahu berkongsi? Lalu siapa yang tamak? PH atau BN? Rakyat bijak menilai.

“Kenyataan saya tidaklah datang tiba-tiba, ia merupakan respon kepada cadangan Ketua Pemuda UMNO Johor supaya PH-BN bersama bagi memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya akan datang.

“Namun sebelum bersama dalam pilihan raya, kita semua perlu tunjuk keikhlasan. Itu mustahak,” tegasnya.

Tambahnya, AMK Johor kinin menunggu dan patuh keputusan pimpinan tertinggi di peringkat Pusat sama ada bertarung atau bersama-sama UMNO dan BN pada pilihan raya akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here