KLANG – Seorang lelaki berusia 20 tahun dilaporkan hilang selama 15 hari dan masih tidak pulang ke rumahnya di Jalan Batu Nilam 1, Bukit Tinggi, di sini, sejak 28 Januari lalu.
Kehilangan Juahmad Ramid atau panggilan mesranya, “botak besar” disedari ahli keluarganya selepas dia keluar bersama rakan-rakannya di sekitar Bukit Tinggi, di sini, kira-kira 3 pagi, akhir bulan lalu.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF11022025_ORANG-HILANG-18.jpg)
Abang ipar mangsa, Muhamad Afiq A.Rahim, 27, ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, Juahmad hanya memakai baju kemeja lengan panjang bercorak jalur berwarna merah putih, memiliki kulit cerah dan berambut panjang.
“Pada malam itu, Juahmad menyuruh kawan-kawannya balik dahulu, kerana dia perlu menunggu kawan lain. Sejak saat itu dia mula tak balik rumah.
“Saya takut dia keluar dan lupa jalan balik ke rumah, apatah lagi dia tidak membawa kad pengenalan, wang dan telefon bimbit,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, malam ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF11022025_ORANG-HILANG-7.jpg)
MalaysiaGazette juga difahamkan, ibu bapa mangsa berasal dari Semporna, Sabah dan kini menetap di Bukit Tinggi dekat sini sejak 20 tahun lalu.
Selain itu, Afiq berkata, sebelum remaja itu menghilangkan diri, Juahmad ada menunjukkan tanda-tanda pelik sebulan sebelum kehilangannya termasuk mengatakan dia akan pergi jauh kerana keselamatannya terancam.
“Dia kata, satu hari nanti dia akan keluar pergi jauh dan dia pernah maklumkan kepada saya, dia kata tak selamat duduk dekat sini (Bukit Tinggi), dia rasa ada orang bermusuh dengan dia,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF11022025_ORANG-HILANG-5.jpg)
Afiq kemudiannya dinasihatkan seorang anggota dari Balai Polis Bukit Tinggi, di sini untuk mencari adik iparnya terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Saya ada jumpa polis, tanya pendapat sama ada nak buat laporan atau tidak. Anggota polis nasihatkan saya cari dahulu di hospital atau mana-mana balai polis, lepas itu hubungi AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan).
“Hanya pada 30 Januari 2025 saya buat laporan polis iaitu selepas 48 jam adik ipar saya menghilangkan diri,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF11022025_ORANG-HILANG-17.jpg)
Menurut Afiq, lebih membimbangkan kerana adik iparnya mengalami masalah kemurungan dan fikirannya kerap terganggu selepas kematian neneknya sejak September tahun lalu.
“Dia kerap bersendirian termenung sahaja, dia kurang berborak walaupun dengan ahli keluarga, malah dia kurang bercakap dengan orang lain sejak kehilangan neneknya.
“Perubahan Juahmad berlaku dengan mendadak dan sangat ketara sejak lima bulan lalu, dia kerap termenung dan pandangannya ada kalanya terarah ke penjuru rumah.
“Kadang-kala dia tengok kakaknya, kemudian ketawa sendiri,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF11022025_ORANG-HILANG-16.jpg)
Afiq menyifatkan adik iparnya seorang yang sangat periang, suka berdandan dan ceria, bagaimanapun kelakuan dirinya berubah selepas kehilangan insan yang tersayang.
Tambahan pula kata Afiq, Juahmad tidak pernah terlibat dengan najis dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah sepanjang dia mengenali anak ketiga dari tujuh adik-beradik itu.
“Dia seorang yang bagus, kerja pun elok, sebelum ini dia bekerja di sebuah gudang dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, bagaimanapun berhenti selepas fikirannya terganggu,” katanya.
Sehubungan itu, Afiq merayu kepada orang ramai untuk menghubunginya di talian 017-6192685 dan 017-7404807 atau balai polis terdekat jika mempunyai maklumat tentang keberadaan Juahmad. – MalaysiaGazette