Tertuduh, Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan ibu tunggal, Fatimah Tambi kedua-duanya berusia 40 tahun masing-masing dijatuhi hukuman penjara 44 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencuri beg berjenama bernilai lebih RM800 dan 10 jenis produk kecantikan di dua buah premis bulan lalu.

MELAKA – Padah mencuri beg berjenama bernilai lebih RM800 dan produk kecantikan bulan lalu, pasangan kekasih masing-masing dijatuhi hukuman penjara 44 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan ibu tunggal, Fatimah Tambi kedua-duanya berusia 40 tahun sebaik dua pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didapati mencuri satu beg tangan berjenama Bonia daripada milikan seorang wanita berusia 63 tahun di sebuah butik di Mahkota Parade, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8 malam 30 Januari 2025.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa bersama-sama telah mencuri 10 produk kecantikan milik seorang wanita berusia 25 tahun di kedai Watson, Taman Seri Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.20 malam 12 Januari 2025.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian pula hendaklah dihukum penjara, boleh didenda atau sebat.

Mengikut fakta kes, kecurian beg berjenama dan 10 produk kecantikan muka dan badan itu disedari pengadu selepas membuat kiraaan stok sebelum melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua tertuduh mengambil barangan tersebut tanpa membuat sebarang bayaran di dua premis terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memberitahu mahkamah, kedua-dua tertuduh bukan pasangan suami isteri dan mencadangkan hukuman berat kerana kesalahan berlaku pada dua tarikh berbeza.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara berjalan serentak dan denda yang rendah kerana Mohamed Amirul sudah berkahwin dan perlu menyara tiga anak.

Tertuduh juga tidak mempunyai kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan manakala Fatimah merupakan ibu tunggal lima anak yang menjaga ibu sakit jantung dan darah tinggi.

Fatimah yang bekerja sambilan di sebuah syarikat penapis air dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut menjelaskan perbuatannya itu adalah untuk mencari pendapatan lebih dengan menjual semula barangan yang dicuri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh ditangkap pada 2 Februari 2025 bagi kesalahan mencuri produk kecantikan.

Bagi kesalahan mencuri beg tangan, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara satu bulan selepas selesai penjara 14 hari dan masing-masing didenda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here