MELAKA – Seorang pengarah syarikat direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi kerja pembekalan alatan sukan badminton berjumlah lebih RM78,000 dua tahun lalu.
Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 44 tahun sehingga 15 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, suspek yang merupakan pengarah dan juga pengurus jualan di sebuah syarikat swasta dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi menaiki kenderaan khas SPRM dengan memakai pakai lokap SPRM berwarna jingga.
Semalam, suspek ditahan selepas diminta hadir ke pejabat SPRM Melaka di Alai pada pukul 3.30 petang bagi membantu siasatan kes yang sedang dijalankan.
Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada seorang akauntan di salah sebuah syarikat pembekalan bagi kerja-kerja pembekalan alatan sukan badminton.
Ianya membabitkan nilai tuntutan sebanyak RM78,812.60 sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















