Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan untuk projek tebatan banjir sebagai pelik.

Ini kerana, kata bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu, gesaan tersebut dibuat selepas Anwar pada 6 Disember 2022 mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa hairan berhubung alasan dan justifikasi Anwar yang mana akan berlaku penjimatan RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.

Katanya, beliau tertanya-tanya bagaimana Anwar boleh membuat kesimpulan yang kurang matang berkenaan penjimatan sedangkan projek-projek ini belum lagi bermula ketika itu.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau pernah mengingatkan kerajaan hari ini yang mana negara akan mengalami kerugian lebih besar jika projek tebatan banjir yang diluluskan ketika beliau menjadi Menteri KASA ditunda.

Hari ini, ujar beliau, telahan beliau itu benar apabila negara dilaporkan mengalami kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, termasuk kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta.

“Sudahlah beras tempatan pun susah untuk didapati dipasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir.

“Malahan, yang terbaru, banjir di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir yang buruk pada akhir tahun 2024.

“Peliknya cara berfikir PMX (Anwar), selepas terlewat 3 tahun, kini baru tersedar betapa pentingnya projek tebatan banjir yang beliau batalkan dahulu.

“Jika beliau tersedar dari awal, tak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sampai ke tengah malam seperti yang dilaporkan akhbar hari ini (semalam),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Semalam, Anwar ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) mahu projek tebatan banjir diberi kelonggaran oleh Perbendahaan supaya pelaksanaannya dipercepatkan melalui peruntukan segera bersama Kementerian Ekonomi.

Menurut Anwar, proses saringan awal projek juga perlu lebih cepat dan pemberian projek lebih baik menggunakan kaedah tender kerana kaedah secara rundingan terus dipercayai banyak berlaku keterlanjuran dan ketirisan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, berbanding kerajaan hari ini, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan yang berfikiran jauh dan mendahului kepentingan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.

Perkara sebegitulah, ujar beliau, antara perbezaan ketara yang rakyat dapat menilai dan membezakan dengan kerajaan Madani.

“Kerajaan PN pada ketika itu telah merancang dan melaksanakan beberapa projek utama.

“Antara projek yang dilaksanakan termasuk 40 projek tebatan banjir seluruh negara yang menggunakan peruntukan off-budget RM15 bilion seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri yang kesembilan (PM9), Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here