KLANG – Seorang lelaki warga tempatan maut selepas lori kontena yang dipandunya terbabas di susur keluar Lebuhraya Pantai Barat (WCE) menghala ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS), awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pukul 3.04 pagi.
“Seramai enam anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas serta bantuan BBP Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-11-at-8.01.41-AM.jpeg)
Ahmad Mukhlis berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan jalan raya itu berlaku berpunca akibat daripada mangsa terbabas sendiri.
“Ketika pasukan tiba di lokasi, mangsa tersepit, masih sedarkan diri dan mengalami kecederaan. Mangsa telah berjaya dikeluarkan,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-11-at-8.01.40-AM-1.jpeg)
Bagaimanapun, katanya, Ahmad Mukhlis, mangsa yang berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kira-kira pukul 5.33 pagi.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Katanya lagi, kerja-kerja menyelamat pemandu lori kontena itu berakhir pukul 6.20 pagi. – MalaysiaGazette