Antara slot perbincangan dan perkongsian pandangan sewaktu Sidang Akademia TVET Termaju 2025.

MELAKA –  Sidang Akademia TVET Termaju 2025 anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencorak lanskap pemerkasaan tenaga kerja masa depan negara yang menyumbang langsung kepada kelestarian Malaysia Madani.

Program sehari ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman dan dalam ucapannya beliau turut menyatakan program ini memberikan input positif yang dapat dimanfaatkan oleh ahli akademik untuk memperkasakan universiti tetapi berguna juga kepada industri dalam memahami hala tuju dan peranan akademia untuk membantu pertumbuhan industri.

“Pada masa sama memberi impak manfaat langsung kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mengemaskan lagi tatakelolanya dalam usaha menggalakkan hubungan rancak antara universiti dan industri.

“Kesefahaman antara industri dan universiti akan mewujudkan satu sinergi yang membentuk rantaian nilai kerjasama yang ampuh bagi menangani pelbagai isu dalam pembangunan industri hal ini pasti ini akan membantu pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan lagi daya saing negara di peringkat global.

“Menariknya inisiatif program ini juga adalah seiringan dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi yang mana antara 7 fokus utama tahun 2025 adalah penyediaan bakat terbaik negara, kewibawaan akademia dan warga kampus serta pemindahan dan perkongsian ilmu,” katanya lagi.

Antara yang hadir adalah Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Sharil Abdullah dan Naib Canselor universiti-universiti awam dari Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Datuk Sabri Mohamad Sharif dan Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program ini juga turut menjadi medan penggerak pro aktif dalam usaha merealisasikan matlamat Pelan Induk Perindustrian Negara 2030.

Jelasnya, menerusi program ini seramai lebih daripada seratus pemain industri bertaraf global, agensi kerajaan dan ahli akademik pakar dihimpunkan untuk berkongsi pandangan pelbagai aspek cabaran semasa dalam membangunkan tenaga kerja mahir dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Antara pengisian program ini berkisar kepada inovasi dan pengkomersialan produk inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu, ketersediaan bakat graduan, kebolehpasaran graduan dan pembelajaran berasaskan kerja dan latihan industri.

“Ini menjadi rantaian strategik yang berdaya tinggi dalam mendapatkan acuan dan formula secara konsisten dalam pelaksanaan berterusan pencapaian matlamat penghasilan graduan berpakej tenaga kerja mahir bertaraf global,” ujarnya.

Katanya lagi, inisiatif ini antara lain turut mengukuhkan hubungan kerjasama strategik sedia terjalin antara UTeM dengan industri dan agensi kerajaan dengan melibatkan mereka untuk turut menyumbang dalam program-program berbentuk akademik dan kemasyarakatan.

“Perkara ini tentunya juga memberikan ganjaran pelbagai dan menarik dalam situasi menang-menang kepada seluruh rangkaian terlibat antara pihak universiti, indutri dan agensi kerajaan,” ujarnya sewaktu majlis Sidang Akademia TVET Termaju 2025 hari ini yang diadakan di salah sebuah hotel di Putrajaya.

Sidang Akademia TVET Termaju 2025 merupakan program di bawah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka yang jelas mencerminkan kesungguhan UTeM menyahut seruan negara untuk menjadikan TVET sebagai salah satu agenda pembangunan utama Malaysia.

Mengulas lanjut Massila berkata, sebelum ini UTeM telah rancak menjayakan pelbagai program berimpak tinggi bagi menjulang usaha pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi TVET masa hadapan.

“Antaranya adalah seperti Majlis TVET Place & Train UTeM@KPT, MTUN Industry-Academia Discourse On Advanced TVET dan Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement menerusi JELITA@KPT SUMMIT yang telah diadakan pada tahun lalu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here