Onn Hafiz (kanan) beramah mesra dengan orang ramai selepas merasmikan program JOJ 2025 yang dilancarkan di Kukup, Pontian kelmarin.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor boleh mengutarakan sebarang masalah atau keperluan mereka dalam program Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025 yang sudah pun bermula di daerah ini kelmarin.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program JOJ 2025 merupakan sebuah inisiatif kerajaan negeri untuk turun ke lapangan mendekati seluruh Bangsa Johor.

“Program ini bukan sekadar lawatan semata-mata tetapi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kepimpinan tertinggi negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin akar umbi dapat mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami keperluan mereka.

“Program JOJ menjadi platform hebahan dan penyampaian tentang setiap dasar dan inisiatif kerajaan negeri di samping mendapat maklum balas secara terus demi memastikan pembangunan Johor bersifat menyeluruh dan inklusif,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz merasmikan program JOJ 2025 dilancarkan di Kukup, Pontian kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap program dan inisiatif berkenaan bukan bersifat one-off dan diteruskan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam tahun ini.

Katanya, program JOJ mengetengahkan pelbagai usaha kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat dan memastikan kehidupan yang lebih sejahtera.

Antaranya kata beliau, melibatkan Jualan Kasih yang mendapat peruntukan keseluruhan RM6.6 juta dan program baik pulih serta bina baru rumah yang diperuntukkan  RM27.7 juta.

“Ini termasuk Program Dapur Kasih berjumlah RM3.9 juta, Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM243 juta kepada 231,000 penerima, Bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM212 juta kepada 209,000 asnaf serta Bantuan Bilik Guru yang diperuntukkan RM5.97 juta kepada 1,194 sekolah seluruh Johor,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast