KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan Thaipusam bukan sedar satu perayaan tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.
Menurut Perdana Menteri dalam ucapan sempena sambutan Thaipusam hari ini, sambutan perayaan itu turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin penganut Hindu dalam mendepani tantangan.
Tidak hanya itu, tambah beliau, Thaipusam turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan.
Dalam masa sama, ujarnya, ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan.
“Tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, kita saksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif; yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang dan saling memahami,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Tambah Anwar, dalam situasi dunia yang semakin tidak menentu ketika ini, semangat saling menghormati dan menerima perbedaan harus menjadi tunjang yang memungkinkan perpaduan.
Ujarnya, keunikan budaya dan amalan yang berbeda harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
“Lantas, ciri ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan.
Walhasil, ujar beliau, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti Thaipusam seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip hidup berdamping (coexistence).
“Saya sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.
“Justeru, mari bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.
“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” katanya. – MalaysiaGazette