Oleh: Ismail Hashim Yahaya
SETELAH mengumumkan Rancangan Presiden Donald Trump yang akan mengambil alih dan memiliki Gaza, beliau mengulangi untuk komited ‘membeli dan memiliki’ Gaza, namun tidak menolak kemungkinan membenarkan beberapa bahagian wilayah itu dibangunkan semula oleh negara lain di Asia Barat.
Apa yang dimaksudkan dengan mengambil alih Gaza itu dan bagaimana caranya itu masih tidak dijelaskan? Adakah Gaza merupakan negeri ke-51 Amerika Syarikat (AS) atau Gaza berada di bawah status wilayah-wilayah yang tidak gabungkan ke dalam negeri-negeri AS seperti Guam, Kepulauan Mariana Utara, Puerto Rico dan kepulauan US Virgin .
“Saya komited untuk membeli dan memiliki Gaza. Mengenai usaha membangunkannya semula, kami mungkin menyerahkannya kepada negara lain di Asia Barat untuk membina bahagian tertentu, atau pihak lain boleh melakukannya di bawah pengawasan kami.
“Bagaimanapun, kami komited untuk memilikinya, mengambilnya, dan memastikan Hamas tidak kembali.
Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri regim pengganas, Benjamin Netanyahu di Washington, Trump turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain, walaupun rakyat Palestin dan Mesir dan Jordan sebelum ini menolak cadangan tersebut.
Realitinya Gaza telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ), sebagai sebahagian daripada Wilayah Palestin di bawah Pendudukan tentera regim pengganas. Undang-undang antarabangsa melarang rampasan wilayah dengan kekerasan, yang ditakrifkan sebagai tindakan pencerobohan.
Piagam PBB berkata: “Semua anggota hendaklah menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara”.
Cadangan Trump adalah penolakan terang-terangan terhadap prinsip teras undang-undang antarabangsa yang telah berkuat kuasa sejak berakhir Perang Dunia II dan penerimaan dan pelaksanaanPiagam PBB. Bahkan laporan terkini menyebut Trump telah menandatangani perintah eksekutif pada Khamis yang memberi kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut pengesahan White House.
Tindakan tersebut diambil susulan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap sekutu Trump, Perdana Menteri regim pengganas, Benjamin Netanyahu. Sekiranya AS masih dengan pengambilan dalam pemiikan ke atas Gaza, “ia akan menjadi pengilhakan wilayah yang menyalahi undang-undang. Bahkan Israel juga tidak mempunyai hak untuk menyerahkan wilayah Palestin kepada AS atau kepada sesiapa sahaja.
Pemindahan penduduk Gaza secara paksa adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan dilihat bakal mendapat bantahan keras, termasuk daripada negara Barat yang menjadi sekutu Washington. Sebilangan pejuang hak asasi manusia turut menyifatkan idea itu umpama langkah pembersihan etnik.
Reuters melaporkan penduduk Gaza membantah rancangan Trump itu dan berikrar tidak akan meninggalkan rumah mereka yang hancur di kawasan Gaza yang bangunkan menjadi Riviera Timur Tengah. Ini juga bermakna Trump akan membawa maksiat ke bumi yang diberkati ini! Trump hendak memajukan Gaza sebagai kawasan judi, zina dan kemabukan.
Apa yang dunia Islam dapat lakukan untuk menyekat langkah maksiat yang diambil Trump ini? Ini adalah sesuatu yang memalukan. Apa yang dirancang Trump ini seolah-olah sejajar dengan kenyataan yang dibuat menantu beliau, Jared Kusher pada tahun lepas yang menggesa kepada penyingkiran penduduk Palestin di Gaza dan memajukan hartanah di sana.
Bagi Trump dan menantunya, setelah dihancurkan regim pengganas melalui genosid, Gaza bukanlah tanah air bagi penduduk Palestin kerana akan menjadi sebuah Riviera Timur Tengah, kawasan pelancongan, kawasan maksiat, persundalan dan kemabukan dan mungkin tempat pemindahan wang haram.
Ia bukan menjadi rahsia lagi bagaimana Trump menanggapinya Gaza sebagai kawasan hartanah, peranginan tepi pantai dan romantika dengan seribu satu macam kejahatan dan kemaksiatan.
Beliau tidak nampak Gaza sebagai tanah air penduduk Palestin, pejuang yang bertarung nyawa mempertahankan bumi yang berkati, bumi patra syuhada, baginya Gaza adalah peluang hartanah terbuka untuk golongan kaya, tempat bermain para pelabur dan permodal antarabangsa – kecuali penduduk Palestin di Gaza.
AS tidak membelanjakan berbilion dolar dan menghantar ribuan tan bom dan memusnahkan 70 peratus bangunan di Gaza supaya ia dibangunkan semula untuk penduduk Palestin. Bom-bom yang dijatuhkan bukan bertujuan bagi penduduk Palestin kembali dan Gaza dibangun semula dengan bantuan PBB, negara Islam atau agensi pembangunan lain, ia bukanlah sebahagian darpada rancangan AS dan Israel.
Apakah Trump ingat Hamas yang dalam terowong itu akan berdiam diri? Netanyahu yang cuba mengebom terowong Hamas itu pun tidak berjaya melakukanya, adakah Trump mampu melakukan dalam masa yang singkat? Bagaimanakah dengan rancangan Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang menumpukan kepada pembangunan semula Palestin?
Dalam syarah ucapan lawatan Presiden Turki ke Malaysia, Reccep Tayyip Erdogan, bahawa dunia memerlu kepimpinan baharu yang memahami keadaan dunia dan bukan hanya tunduk kepada beberapa buah negara kuasa besar. Katanya “The world is bigger than Five”.
Dunia harus ada pelan dan strategi untuk menghalang AS dan Israel daripada memiiki dan mengambil Gaza secara mutlak. Pemimpin negara Islam harus dari bangun dari selimut kemegahan dan kekayaan. Firman Allah SWT dalam surah Al Muddaththir: (1) Wahai orang yang berselimut! (2) Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). (3) Dan Tuhanmu,maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya.
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan atarabangsa.