KUALA LUMPUR – Meskipun gaji minimum sebanyak RM1,700 telah dilaksanakan sejak 1 Febuari lalu namun masih ada kementerian yang belum menggunakan kadar baharu itu bagi pembayaran kontraktor di bawahnya.
Demikian dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan (Perikatan Nasional) di Dewan Rakyat hari ini.
Ujarnya, perkara perkenaan jelas bercanggah dengan Perintah Gaji Minimum yang diumumkan kerajaan.
“Gaji minimum bagi saya secara umumnya baik (sebab untuk) meningkatkan pendapatan rakyat. Bagaimanapun ada sedikit kepincangan dalam pelaksanaan yang baru bemula 1 Febuari lalu.
“Adakah pihak kerajaan sedar bila diumum tahun lepas semua kementerian sepatutnya bersedia melaksanakannya tetapi sebenarnya yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila ramai usahawan kecil dan sederhana bumiputera terutamanya yang ada kontrak dengan kerajaan yang mana bayaran kepada mereka dibayar oleh kerajaan (tetapi masih) mengikut kadar gaji lama.
“Kerajaan yang umum dasar gaji minima RM1,700 tapi apabila bayar mereka guna kadar lama yang tidak cukup tanggung kos yang kerajaan sendiri arahkan mereka bayar.
“Macam mana jadi caca marba begini? Yang lebih pening kepala adalah apabila Kementerian Sumber Manusia beria-ia dakwa dan kenakan tindakan undang-undang (majikan yang tidak laksanakannya) sedangkan yang tidak bayar kadar baharu adalah pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Wan Saiful menggesa kerajaan melaksanakan moratorium kepada majikan yang masih belum mampu membayar pekerja pada kadar gaji minimum baharu iaitu sebanyak RM1,700.
Jelasnya, moratorium untuk satu tempoh tertentu wajar dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan membuat penyelarasan kepada semua kementerian mengikuti kadar bayaran baharu kepada kontraktor-kontraktor di bawahnya.
“Buatlah satu moratorium jangan ambil tindakan kepada mereka yang tidak mampu bayar pekerja mereka pada kadar yang ditetapkan,” tambahnya.
Bermula 1 Febuari lalu, kerajaan menerusi Perintah Gaji Mnimum memulakan kadar bayaran baharu untuk 4.37 juta pekerja.
Kadar baharu itu adalah RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini.
Perintah berkenaan terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.- MalaysiaGazette