Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Mohd Ridhuan Tee Abdullah terkejut dengan adanya surat daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mencalonkan Premier Sarawak sebagai Yang di-Pertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) baharu.

Ia kononnya bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan mahu mengundurkan diri dan tidak mahu lagi bertanding.

Naib Yang di Pertua PERKIM itu merujuk kepada surat JPM kepada Setiausaha Agung (SUA) PERKIM, Tan Sri Yusof Noor dan dianggapnya bukan lagi satu rahsia.

Pencalonan Tan Sri Abang Johari Tu Opng itu didakwanya mendapat persetujuan pimpinan atasan kerajaan.

“Cuma, saya ada sedikit musykil dan persoalan, kenapa perlu ada campur tangan politik dalam hal ehwal pemilihan PERKIM dan PERKIM itu sendiri?

“Adakah kerana PERKIM menerima sedikit geran kerajaan, kami boleh terpaksa menurut arahan pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya? Siapakah yang melakukan kerja ini semua sehingga menyebabkan PERKIM berada dalam dilema?” soalnya dalam kenyataan.

Secara peribadi, Mohd Ridhuan tidak akan membenarkan campur tangan politik dalam pertubuhan dakwah yang berkait rapat dengan mualaf.

Menurutnya, PERKIM selama ini sudah banyak berserabut dengan masalah pengurusan dan pentadbirannya.

“Saya adalah ‘budak nakal’ sentiasa lantang bersuara walaupun tidak disukai. Saya tidak kisah dengan sama ada manusia suka saya atau tidak, kerana saya tidak cara reda manusia tetapi saya mencari reda Allah, takut kepada kemurkaan Allah, takut Allah benci dan tidak suka kita,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mempersoalkan kredibiliti Premier Sarawak malah berbesar hati jika Abang Johari menerajui PERKIM cuma mahu ia dilakukan melalui saluran yang betul.

Menurutnya, walaupun AGM PERKIM ditolak untuk diadakan di Sarawak, persoalannya, apakah surat daripada JPM dan pencalonan yang kononnya mendapat restu.

Ia bermakna seolah-olah mencerminkan tidak boleh berlaku pertandingan merebut jawatan YDP PERKIM sedangkan dalam perlembagaan PERKIM, jawatan ini terbuka untuk dipertandingkan, dakwanya.

“Apakah surat tersebut bertujuan untuk mematikan amalan demokrasi dalam PERKIM yang selama ini telah berjalan sekian lama?

“Ya, benar, saya tidak nafikan dalam PERKIM ini ramai orang politik. Tetapi janganlah ia dipolitikkan kerana ia adalah pertubuhan dakwah. Jerit perih Almarhum Tunku Abdul Rahman yang menubuhkan PERKIM mestilah dihargai, saya berharap ia tidak dipolitikkan. Ini perbuatan tidak baik dan hina sama sekali.

“Cukup-cukuplah berpolitik, jangan sampai pertubuhan dakwah juga hendak dipolitikkan. Saya memeluk Islam di PERKIM tahun 1985, saya sangat sayangkan PERKIM. PERKIM sudah menjadi darah daging saya, PERKIM mesti diselamatkan. Tidak pernah lagi ada campurtangan politik selama ini, tiba-tiba kali ini hendak dipolitikkan,” ujarnya.

Namun, katanya, biarlah semuanya berlangsung dalam suasana muhibbah mengikut lunas demokrasi tanpa dipolitikkan.

“Biarlah ahli PERKIM yang menentukan, bukan orang lain,” katanya.

Mohd Ridhuan juga mempersoalkan kenapa ada arahan AGM PERKIM mahu diadakan di Sarawak dan menganggapnya ia tidak seperti dirancang.

“Amalan kebiasaan, bila ada AGM melibatkan pemilihan, ia sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur agar nampak lebih bersifat neutral.

“Tiba-tiba kali ini, tanpa pengetahuan kami, menerima surat daripada daripada SUA PERKIM, diedarkan keseluruh bahagian mengatakan bahawa AGM kali ini bersama pemilihan, akan diadakan di Sarawak.

“Keadaan menjadi kelam kabut kerana ia tidak seperti yang dirancangkan mengikut kehendak mesyuarat, dan tidak pula dibawa ke mesyuarat pengurusan tertinggi PERKIM.

“Akibat kecelaruan pentadbiran PERKIM pusat, PERKIM Sarawak akhirnya telah menarik diri untuk menjadi tuan rumah. Terima kasih PERKIM Sarawak kerana amat memahami keadaan kami di sini,” dakwanya.

Walaupun Mohd Riduan berada berada dalam pengurusan tertinggi PERKIM namun mendakwa banyak perkara yang tidak diketahuinya kerana tidak dimaklumkan oleh SUA PERKIM.

“Banyak keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat, tidak dilaksanakan. PERKIM seolah-olah menjadi milik seseorang.

“Paling mengejutkan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan menerima surat daripada JPM mengatakan pemimpin tertinggi negara bersetuju mencalonkan premier Sarawak sebagai YDP.

“Kenapa sebesarkan ini tidak dibawa dalam mesyuarat pengurusan tertinggi PERKIM. Komplot apakah yang sedang berlaku? Saya harap Setiausaha Agong PERKIM dapat memberikan penjelasan? Kenapa perkara ini boleh sampai ke JPM dan PERKIM menerima surat daripada JPM?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here