Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025.

Dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan akan berkurangan di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ketiadaan hujan dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

Situasi cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun bermula pada bulan Februari hingga Mei.

Dalam tempoh ini, catatan suhu harian tertinggi boleh melebihi 35°C pada awal petang.

Bacaan suhu tertinggi yang dicatat di stesen-stesen Meteorologi Met Malaysia seluruh negara pada 11 Februari 2025 adalah 36.1°C, yang direkod di FELDA Teloi Kanan, Baling, Kedah.

Selain itu, gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh ini.

Namun begitu, keadaan ini diramal tidak seteruk tahun 2024 disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang yang dijangka akan berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

Dalam keadaan cuaca panas dan kering, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air serta
mengelakkan sebarang pembakaran terbuka.

Orang ramai juga dipohon untuk mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

Beliau berkata, Met Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan
cuaca. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast