BUTTERWORTH – Dua lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan berdagang empat pucuk pistol dan selaras raifal M4 pada Januari lalu.
Tertuduh, Husaini, 22, dan Zulkarnaini A Rahman, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Indonesia dihadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka secara bersama-sama telah berdagang senjata api iaitu dua pucuk pistol jenama Glock, pistol jenama Sig Sauer (1), pistol jenama Smith & Wesson (1) serta selaras raifal M4 Carbine Caliber.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedudukan latitud 05.3655830N longitud 100.362722015 perairan laut Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 3.10 petang pada 27 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, Zulkarnaini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer di lokasi dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.
Ketika prosiding, tiada jaminan ditawarkan Nurul Nadia atas alasan kesalahan tersebut tidak dibenarkan jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan.
Terdahulu, dua lelaki warga Indonesia yang mempunyai pertalian keluarga tiba di mahkamah jam 9.35 pagi dengan diiringi pihak polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Pertuduhan kes seludup senjata api untuk dijual kepada kongsi gelap ditangguhkan
4 ditahan seludup senjata api dari Thailand untuk pasaran gelap
MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, pertuduhan ke atas dua lelaki warga Indonesia berkaitan kes rampasan lima pucuk pistol, selaras raifal serta ratusan peluru di kawasan perairan Pulau Pinang pada 27 Januari lalu ditangguhkan untuk lantikan jurubahasa. – MalaysiaGazette