KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri menetapkan hari Sabtu terakhir setiap bulan September sebagai Hari Cuci Malaysia, dan program tahunan ini akan diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan dengan pendekatan seluruh negara oleh kementerian, jabatan, agensi persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, institusi pendidikan, badan swasta, dan lain-lain entiti mengikut kesesuaian dan kapasiti masing-masing.
Ia adalah selaras dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 20 September sebagai Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day) bagi menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembersihan awam.
“Kini, Malaysia telah menjadi antara destinasi pelancongan pilihan utama. Melalui inisiatif ini, kita berhasrat untuk menaikkan lagi imej negara sebagai negara yang bersih dan aman supaya kita dapat terus menawan hati pelancong dari seluruh dunia,” kata Kor Ming.
Pelaksanaan Hari Cuci Malaysia pada tahun lepas telah mencatatkan tiga rekod nasional baharu dalam The Malaysian Book of Records (MBOR) iaitu bilangan penyertaan teramai seluruh negara iaitu 58,007 orang; jumlah kutipan sisa pepejal terbanyak dalam masa 1 hari iaitu 4,645.5 tan metrik; dan pelaksanaan aktiviti gotong-royong terlama iaitu 12 jam.
KPKT menyasarkan untuk menarik 100,000 peserta pada tahun 2025 dan turut melibatkan murid-murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Budaya amalan kebersihan amat penting, dan kita perlu mendidik anak-anak sejak kecil agar menjaga kebersihan awam bersama-sama,” ulas Kor Ming. – MalaysiaGazette