KUALA LUMPUR – Indeks volum Perdagangan borong & runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 159.9 mata pada suku tahun keempat 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berate, peningkatan 4.4 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang tumbuh 5.3 peratus kepada 145.9 mata, diikuti oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 4.2 peratus dan 2.5 peratus.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum naik 1.0 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor (2.5%) dan perdagangan runcit (1.6%).
Dari sudut prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan positif 5.3 peratus bagi indeks volum perdagangan borong dipacu oleh jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup dengan 11.8 peratus, diikuti perdagangan borong tanpa pengkhususan (8.3%), jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (7.8%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (7.6%), jualan borong makanan, minuman &
tembakau (5.0%) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (4.9%).
Sebaliknya, bagi perbandingan suku tahunan, subsektor ini turun -0.2 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut prestasi indeks volum perdagangan runcit, beliau /memaklumkan pertumbuhan positif sebanyak 4.2 peratus dalam perdagangan runcit disumbangkan oleh Jualan runcit bahan api kenderaan dengan 7.0 peratus.
Penyumbang lain termasuk Jualan runcit makanan, minuman & tembakau (6.3%), jualan runcit di gerai & pasar (5.4%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (5.0%), jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (4.4%) dan jualan runcit di kedai pengkhususan (3.9%).
“Indeks volum kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan positif 2.5 peratus, disokong oleh jualan, penyelenggaraan & pembaikan motorsikal dengan 15.5 peritus diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor meningkat masing-masing dengan 8.7 peritus dan 2.8 peratus.
“Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong & runcit merosot -3.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2024, disebabkan oleh pertumbuhan negatif dalam semua kumpulan, terutamanya dalam subsektor Kenderaan bermotor dengan -16.0 peratus,” jelas beliau.
Bagi prestasi sektor ini untuk keseluruhan tahun 2024, indeks volum meningkat sebanyak 4.3 peratus untuk mencapai 156.6 mata.
Pertumbuhan ini disokong oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 135.5 mata diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong dengan kenaikan masing-masing sebanyak 4.4 peratus dan 4.1 peratus. – MalaysiaGazette