KUALA LUMPUR – Ketua Biro Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mempersoalkan keputusan kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan (MINDEF) menandatangani kontrak sewaan helikopter secara Government Operate, Company Owned and Maintain (GOCOM) pada 19 Disember lalu.
Menurut Ahli Parlimen Tanah Merah itu, perjanjian GOCOM yang paling mahal dan paling besar dalam sejarah perolehan negara itu sepatutnya dibuat ketika berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) yang dijadual berlangsung pada Mei depan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan seolah-olah tergesa-gesa untuk memeterai perjanjian dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. pada Disember yang lalu di mana syarikat itu sebenarnya hanya berperanan menjadi orang tengah dalam kontrak perbekalan sewaan helikopter, bukannya pengeluar helikopter.
“Saya sebenarnya pelik kerana sudah menjadi kebiasaan amalan MINDEF bahawa kontrak perolehan aset udara ataupun maritim sememangnya akan dimeterai sewaktu pelaksanaan LIMA tetapi kenapa kali ini kerajaan nampaknya terlalu tergesa-gesa memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat berstatus Sendirian Berhad yang hanya menjadi orang tengah dan bukan pengeluar peralatan?” soalnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Ikmal Hisham turut mempersoalkan mengapa kerajaan perlu bersetuju terhadap struktur kontrak dan keputusan menganugerahkan kontrak rasmi hanya kepada pihak ketiga sekiranya alasan yang kerap dimainkan oleh Kerajaan Madani dan juga MINDEF bahawa tindakan sewaan helikopter secara GOCOM itu lebih murah dan lebih menjimatkan wang kerajaan.
Dakwa beliau, pesawat jenis AW149 bukan pesawat utama pilihan angkatan tentera di seluruh dunia berbanding helikopter Black Hawk, justeru tidak timbul keperluan untuk lock pesanan awal antara Syarikat Weststar Aviation Sdn. Bhd. dengan pengeluar helikopter iaitu Syarikat Leonardo dari Itali.
“Kenapa kerajaan tidak menyewa terus daripada syarikat pengeluar iaitu Leonardo daripada Itali?
“Kalau Kerajaan Madani sentiasa menyebut kepentingan pelaksanaan secara “G to G” untuk kontrak perolehan aset pertahanan untuk mengelakkan berlakunya ketirisan wang awam, kenapa pelaksanaan sewaan helikopter AW149 ini tidak dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa sebagaimana perolehan pesawat Light Combat Aircraft (LCA) daripada Korea Selatan ataupun perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 dengan Kerajaan Turkiye?” soalnya.
Media sebelum ini melaporkan satu majlis perjanjian perolehan helikopter untuk kegunaan Kementerian Pertahanan dan agensi kerajaan melalui kaedah pajakan aset secara penswastaan telah ditandatangani di Putrajaya pada 19 Disember lalu.
Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim. – MalaysiaGazette