KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengenal pasti isu setempat termasuk kemiskinan, pendidikan dan masalah kesihatan di peringkat akar umbi sebagai salah satu langkah dalam merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi dalam kalangan rakyat.
Dalam masa sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata, kerajaan turut bekerjasama dengan agensi swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha berkenaan.
Ia termasuk dalam memastikan pembangunan produk yang dihasilkan khususnya oleh usahawan luar bandar dapat dikembangkan sehingga ke peringkat pengkomersialan seterusnya memanfaatkan komuniti secara keseluruhannya.
“Sinergi dan peranan yang dimainkan oleh setiap pemegang taruh ini akan dapat memberikan impak positif dengan menjana pulangan ekonomi yang signifikan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang tentunya dapat membantu mengurangkan ketidaksamarataan sosial dan ekonomi di negara kita,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad Yusof (Warisan-Lahad Datu) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkenaan langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi dalam kalangan rakyat.
Menurut Hasni, ia berikutan laporan Bank Dunia menyebut sebanyak 70 peratus rakyat di negara ini berasakan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat semakin meluas manakala 63 peratus rakyat percaya kerajaan perlu mengambil tindakan segera.
Lebih mengejutkan, kata Hasni, menurut laporan sama, sebanyak enam daripada 10 rakyat tidak yakin Malaysia akan dapat mencapai status negara dengan pendapatan tinggi.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohamad Yusof berkata, kerajaan dalam merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi dalam masyarakat juga turut melancarkan Dasar Inovasi Sosial (DIS) pada Disember lalu.
Jelas beliau, DIS bertujuan memacu masyarakat yang lebih berdaya saing, berdaya cipta dan berdaya tahan sekali gus memperoleh peluang dan akses sama rata terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial serta persekitaran yang lebih mapan menerusi tadbir urus yang baik.
Bagaimanapun, ujarnya, terdapat beberapa cabaran awal yang dikenal pasti dalam pelaksanaan DIS itu antaranya kekurangan pengetahuan dan kerjasama strategik dalam kalangan masyarakat berhubung inovasi sosial dan manfaatnya sekali gus menghalang penerimaan dan penglibatan aktif mereka dalam dasar tersebut.
“Selain itu, landskap pemberian insentif yang tidak bersasar juga menyebabkan inovasi sosial sukar dikembangkan selain infrastruktur yang kurang berdaya saing seperti capaian internet yang lemah,” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, tambah beliau, beberapa langkah telah dicadangkan termasuk meningkatkan program berbentuk jangkauan luar untuk memberi lebih pendedahan berkenaan inovasi sosial kepada masyarakat. – MalaysiaGazette