Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu. Foto Arkib MalaysiaGazette

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini telah mengarahkan Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda membayar lebih RM9 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Wang itu sebagai pampasan dalam kes saman sivil yang difailkan oleh bapanya, Shaariibuu Setev.

Hari ini Pesuruhjaya Kehakiman, M Sumathi dalam keputusannya, memerintahkan jumlah itu dibayar termasuk faedah dalam tempoh 30 hari ke dalam akaun firma guaman Karpal Singh & Co, yang mewakili Shaariibuu.

Sumathi turut mengarahkan kerajaan dan Abdul Razak membayar kos guaman sebanyak RM25,000.

Perkara itu juga telah disahkan peguam mewakili keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo kepada media hari ini.

Dalam pada itu, mahkamah juga telah membenarkan permohonan lisan untuk penangguhan pelaksanaan perintah tersebut.

Sebelum ini, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal selaku plaintif memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 dengan menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 16 Disember 2022, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan saman itu dan memerintahkan defendan bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan RM5 juta kepada keluarga berkenaan.

Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here