JOHOR BAHRU – Malaysia dan Singapura akan mencalonkan Pesta Perarakan Chingay 2025 sebagai elemen bagi Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan dalam Senarai Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Mac ini.
Tujuannya bagi mengangkat martabat pesta tersebut yang kini diselaraskan Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru menjadi lebih berprestij selepas semakin popular dengan bilangan pengunjung semakin bertambah.
Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong berkata, seramai 500,000 pengunjung dari seluruh dunia dijangka memeriahkan pesta berkenaan pada kali ini.
“Antaranya dari Singapura, Taiwan, Hong Kong, China dan Jepun. Pada kali ini pihak Forest City akan menaja siaran langsung perakakan ini untuk dalam talian. Pada tahun lalu seramai empat juta menonton pesta ini secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Tiong Hua, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan berikutan beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup pada Ahad ini hingga Rabu depan sempena penganjuran pesta berkenaan.
Katanya, sembilan jalan yang akan terbabit dengan penutupan secara berperingkat iaitu Jalan Trus, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Dato’ Onn, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.
“Sembilan jalan itu akan ditutup pada pukul 11 pagi hingga 1 petang, Ahad ini, bagi tujuan penyucian jalan yang bermula dan berakhir di Kuil Kuno Johor, Jalan Trus.
“Pada Isnin pula, bermula 11 pagi hingga 1 petang, Jalan Trus, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Razak dan Jalan Ulu Air Molek ditutup bagi acara membawa tokong keluar, bermula dari Kuil Kuno, Jalan Trus dan berakhir di Kuil Xing Gong, Jalan Ulu Air Molek.
“Kemuncak acara berlangsung pada Selasa depan yang mana kita akan mula menutup jalan pada pukul 5 petang dan dijangka berakhir pukul 3 pagi esoknya,” katanya.
Raub berkata, jalan yang terbabit dengan penutupan pada hari kemuncak adalah Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Gertak Merah, Jalan Syed Mohd Mufti, Jalan Dato’ Onn, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak yang mana bermula dan berakhir di Rumah Mayat Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru.
Bagi acara membawa balik tokong pada Rabu depan katanya, penutupan jalan dibuat bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang membabitkan Jalan Tun Razak, Jalan Ngee Heng dan Jalan Trus.
Bagi melancarkan perjalanan mereka yang hendak ke pusat bandar pada empat hari berkenaan, Raub mengingatkan orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif termasuk mereka yang dari arah Skudai atau Danga Bay boleh menggunakan Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Abu Bakar.
Katanya, mereka yang dari arah Tebrau atau Kota Tinggi boleh menggunakan Lebuhraya EDL, dari Pasir Gudang (gunakan Jalan Bakar Batu) dan dari Singapura (disarankan menggunakan pengangkutan awam).
Selain itu, Raub berkata, pihaknya akan menempatkan 2,148 pegawai dan anggota pada hari kemuncak pesta itu dengan dibantu 200 anggota Rela dan 100 penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang diberikan polis dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat disediakan, dilarang membawa senjata tajam atau berbahaya, dilarang melakukan bentuk provokasi, dilarang membakar mercun dan bunga api serta mengawasi anak-anak kecil yang dibawa,” katanya.
Pesta Perarakan Chingay 2025 akan menyaksikan 80 kereta berhias dengan penyertaan 21 pasukan tarian singa dan naga daerah Johor Bahru.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Raub sambil diperhati Sow Tong (kiri) menunjukkan jalan utama yang akan ditutup sempena Pesta Perarakan Chingay 2025 selepas sidang akhbar di Wisma Tiong Hua, Johor Bahru, hari ini.