Seorang mekanik, Hew Kan Wai, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Rabu, atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan menggunakan sebatang tukul besi bulan lalu.. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 FEBRUARI 2025.

IPOH – Seorang mekanik yang sebelum ini tular memukul seekor anjing dengan menggunakan sebatang tukul besi bulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Hew Kan Wai, 42, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull kacukan berwarna putih coklat dengan sebatang tukul besi hingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Ria dalam daerah Kinta pada jam 8 malam, 18 Januari 2025.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Dalam pendakwaan itu, Qurratu’aini memohon jaminan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Kathan dalam rayuannya meminta supaya wang jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan kepada RM1,000.

Menurutnya, anak guamnya yang berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung dua orang anak yang masih bersekolah termasuk isterinya tidak bekerja.

Beliau berkata, Kan Wai juga perlu menanggung empat orang anak saudaranya yang telah kematian bapa mereka iaitu abang kepada anak guamnya itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap awal bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tular rakaman video berdurasi 43 saat pada laman Facebook ‘Malaysian Dogs Deserve Better’ yang memaparkan kejadian penganiayaan terhadap haiwan peliharaan di yang dilakukan di hadapan rumah mekanik terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here