BANGI – Empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 memiliki potensi yang besar dan tidak boleh dipinggirkan serta perlu dilibatkan oleh kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Muein Abadi berkata, ia kerana Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mempunyai potensi sama ada daripada segi geografi, sumber dan tenaga sumber manusia kepada negara.
Beliau yang juga Pakar Kajian Dasar memberitahu, Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN perlu menjalinkan sinergi politik oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bukan sahaja menggembleng Malaysia di peringkat serantau tetapi juga di peringkat antarabangsa sebagai contoh antara insiatif semasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN iaitu ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China.
“Jadi SG4 ini mempunyai potensi yang sudah pun ada dan cuba diterokai di mana contohnya daripada Kerajaaan China kerana ada potensi yang boleh dibangunkan bersama dan komrehensif.
“Kita harapkan tiada perbezaan dan halangan peluang keempat-empat negeri di bawah Pas dilibat dalam Kepengerusian ASEAN,” katanya pada Program Minda UKM bertajuk Trump Dan Dunia: Implikasi Terhadap Malaysia di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM di sini hari ini.
Beliau menjadi panel pada program itu bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Zalina Zainol dan Profesor Hubungan Internasional di Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Prof. Cheng Chwee Kuik.
Mengulas lanjut, Abdul Muein menambah, SG4 antara negeri yang utama dalam hasil petroleum, sumber tanah dan unsur nadir bumi iaitu potensi yang boleh dibangunkan oleh kerajaan.
Jelas beliau, ia bukan semata-mata untuk kepentingan ekonomi setempat dan perusahaaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi juga kepentingan geopolitik yang lebih besar.
“Jadi peluang pelaburan bukan sahaja negara-negara gergasi seperti Amerika Syarikat kerana kita tahu (Donald) Trump disokong oleh bilionair yang begitu ke hadapan iaitu Elon Musk selain Amazon dan Meta.
“Jadi adanya keperluan untuk kita bangunkan potensi keempat SG4 ini bukan sahaja dengan agenda Kerajaan Persekutuan tetapi juga Kepengerusian ASEAN Malaysia dan agenda geopolitik yang lebih besar dan sepatutkan kita tidak bezakan ideologi politik.
“Semua potensi semua negeri perlu dilibatkan secara komprehensif dan tidak ada cuma negeri yang bersekutu dengan kerajaan sahaja yang dapat manfaat dan dibangunkan potensi mereka,” katanya.
Mengulas impak polisi Trump kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Abdul Muein memberitahu, kerajaan kini masih berdepan dengan isu Laut China Selatan yang masih panas dan keadaan terbaru Amerika Syarikat yang mengenakan tarif kepada China dan beberapa barangan daripada sebahagian kepentingan di Malaysia yang akan turut terjejas.
Justeru, jelas beliau, kerajaan perlu memainkan peranan yang perlu kritikal untuk memujuk Trump bahawa Malaysia masih mempunyai nilai yang perlu dibangunkan.
“Kita tidak boleh tinggalkan projek pusat data Google dan sebagainya untuk dipulangkan ke Amerika Syarikat namun terus dibangunkan di sini.
“Itu antara cabaran untuk kerajaan mengimbangi kepentingan geoekonomi dan geopolitik Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sebagai persaingan Amerika Syarikat di bawah Trump dengan China,” katanya. – MalaysiaGazette