KUALA LUMPUR – Sembunyikan bungkusan dadah dalam kotak makanan dan mencampurkannya dengan makanan ringan.
Itu modus operandi pengedar dadah yang dikesan selain menggunakan perkhidmatan self check in kerana menganggap ia sukar dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.
Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, taktik itu dikesan selepas pihaknya menahan seorang lelaki yang mencurigakan di Balai Pelepasan KLIA2 pada 7 Februari lalu.
Hasil siasatan, polis merampas satu kotak mengandungi lapan bungkusan bertulis Guanyingwang berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 8,434 gram.
“Ekoran daripada itu, seorang lagi lelaki tempatan ditahan juga sekitar Balai Perlepasan KLIA2 dan merampas satu kotak yang mengandungi plastik bertulis Guanyinwang dan di dalamnya terdapat serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 10, 541 gram,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun.
Kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod lampau namun saringan mendapati salah seorang daripadanya positif dadah.
Nilai rampasan dadah bagi kes berjumlah RM607,200 dan dipercayai untuk dipasarkan ke Sarawak.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Februari ini dan disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati. – MalaysiaGazette