PUTRAJAYA – Adinda kepada Sultan Terengganu, Tengku Rahimah Sultan Mahmud hari ini menceritakan beliau pertama kali bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low selepas diperkenalkan oleh Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree.
Syed Ahmad adalah menantu kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Taib Mahmud.
Menurut Tengku Rahimah, Syed Ahmad ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Cahya Mata Sarawak (CMS) telah memperkenalkan Jho Low dalam satu pertemuan santai.
Dalam pertemuan itu, Jho Low berkongsi mengenai latar belakangnya, kelayakan akademik serta penglibatannya dalam membantu syarikat Mubadala memperoleh kepentingan dalam RHB Bank Berhad.
“Pertemuan ini berlangsung di pejabat Jho Low di Menara Berkembar Petronas (KLCC), sebuah pejabat yang sangat mengagumkan. Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree dan suami saya.
“Kali pertama jumpa Jho Low, saya tertarik dengan perwatakan lelaki itu yang sentiasa kelihatan tenang dan bijak. Saya kagum dengan keupayaannya menjelaskan visi serta idea dengan jelas dan meyakinkan.
“Dia tidak terlalu mendesak tetapi pendekatannya cukup berkesan dan menarik,” katanya.
![Jho Low Fat Leonard](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2022/09/Jho-Low-300x200.jpg)
Beliau berkata demikian ketika menjadi saksi pembelaan keenam (DW6) pada prosiding bela diri penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.
Mengulas lanjut berkaitan penglibatan Jho Low dalam Terengganu Investment Authority (TIA), Tengku Rahimah mengesahkan beliau yang memperkenalkan Jho Low kepada Sultan Mizan Zainal Abidin dan menafikan dakwaan penubuhan pelaburan strategik itu adalah atas permintaan Najib.
“Penubuhan TIA itu bukan cadangan Datuk Seri Najib. Sebaliknya, ia dicadangkan oleh Jho Low selepas Tuanku Mizan diperkenalkan kepada Mubadala dan model dana kekayaan berdaulatnya,” ujarnya.
Menurutnya, idea asal TIA adalah untuk mengurus kekayaan Terengganu secara mampan dan memastikan manfaat ekonomi jangka panjang kepada rakyat negeri itu.
“Jho Low memainkan peranan utama dalam peringkat awal TIA, terutamanya dalam mengenal pasti sektor yang berpotensi untuk pembangunan. Fokus awalnya adalah sektor pelancongan, dengan menekankan keindahan semula jadi Terengganu khususnya pulau-pulaunya,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Rahimah juga mengesahkan Najib yang juga mantan Menteri Kewangan tidak pernah bercadang untuk mengambil alih TIA dan menukarkannya kepada 1MDB ketika syarikat pelaburan itu sedang berdepan dengan masalah.
Tengku Rahimah turut mengesahkan beliau dilantik sebagai pengarah TIA pada awal 2009 atas cadangan Jho Low yang dipersetujui oleh Tuanku Mizan.
Prosiding bersambung ketika ini.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette
apa tinggu lagi dan buang masa semua orang sepamz bertahun tahun. tutup saja kex ini. ada banyak lagi kes nak di hadap.