ALOR GAJAH – Wanita yang maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan merempuh tembok batu di Kampung Pengkalan, di sini awal pagi tadi rupanya dikejar suaminya dengan menaiki motosikal lain selepas mereka dipercayai bertengkar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, setakat ini pihak polis masih menyiasat berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima itu dalam nahas yang mengorbankan Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27 tahun.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2022/11/MGF08092022_RAMPASAN-DADAH-GANJA_10.jpg)
“Ada saksi mengatakan berlaku pertengkaran antara arwah dan suaminya berusia 22 tahun di luar sebelum kejadian sehingga berlaku kejar mengejar antara kedua-duanya yang menaiki motosikal berasingan.
“Suaminya mengejar mangsa sebelum motosikal wanita itu terbabas di selekoh berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin dan merempuh tembok batu menyebabkannya maut ditempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu MalaysiaGazette hari ini melaporkan dalam kejadian kira-kira 12.45 malam tadi, pekerja kilang Nur Erdiyanah maut selepas motosikal jenis Yamaha LC ditunggang dipercayai terbabas.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-7.57.44-AM.jpeg)
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.
Mengulas lanjut Ashari berkata, susulan itu pihak polis telah memanggil suami mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang ke balai polis hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Punca pertengkaran pasangan itu yang belum mempunyai anak masih lagi dalam siasatan.
“Berkemungkinan kita akan menahan reman suami mangsa untuk mambantu siasatan kes,” katanya. – MalaysiaGazette