JOHOR BAHRU – Seramai 21 pelayan wanita warga asing diberkas di pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen dalam serbuan di bandar raya ini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kesemua wanita terbabit ditahan dalam Op Noda pada pukul 11 malam.
“Mereka yang ditahan itu bekerja berusia 19 hingga 42 tahun dan bekerja tanpa permit kerja sah.
“Premis hiburan itu mengenakan bayaran yang berbeza mengikut kalung yang dipakai bagi mendapatkan khidmat pelayan tersebut.
“Dalam serbuan sama, pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang merupakan pekerja kaunter,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, menerusi serbuan itu, polis merampas sebuah DJ controller jenama Pioneer, mikrofon, komputer riba, pembesar suara, 11 helai kalung pelbagai warna tertulis nilai RM100 hingga RM10,000, dua keping resit perniagaan, wang tunai RM750 dan tiga peket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja berat 8.17 gram.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati premis itu bukan sahaja menjalankan perniagaan tanpa lesen tetapi menggajikan warga asing tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan.
“Semakan rekod ke atas semua tangkapan mendapati tiada rekod jenayah lampau kecuali satu tangkapan yang mempunyai dua rekod lampau di bawah kesalahan dadah.” ujarnya.
Saringan ujian air kencing ke atas semua tangkapan katanya, mendapati kesemuanya negatif dadah manakala seorang lelaki positif dadah jenis ganja.
“Lelaki itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Ahad, manakala penjaga kaunter itu ditahan reman sehari sahaja,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, kesemua tangkapan wanita telah ditahan reman bermula hari ini hingga 26 Februari ini.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 6(1)(C) akta yang sama iaitu masuk dan berada dalam negara tanpa dokumen sah serta Seksyen 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Tambah beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakman Negeri Johor iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette