Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan dalam penubuhan Tabung Pembangunan Semula Gaza harus dilihat tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan sahaja kerana dana kemanusiaan itu membawa imej negara di mata dunia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, inisiatif itu perlu dilihat secara bipartisan dan semua pihak boleh mengambil bahagian untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.

“Bila kita ada tabung wakaf untuk pembangunan Gaza, pandangan saya inisiatif tersebut perlu dilihat bipartisan, tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan sahaja dan imej yang kita bawa ini adalah imej negara.

“Sebab akhirnya dalam kalangan kita jugalah yang akan meletakkan nama baik negara selain bersolidariti dengan mereka yang menjadi mangsa peperangan dan sebagainya.

“Sebab itu mesej ini diharapkan diterima dengan baik oleh masyarakat di luar sana,” katanya kepada pemberita selepas program “Kick-Off Perpaduan 2025” di Stadium Merdeka, di sini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan piala sempena program Kick-Off Perpaduan 2025 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam semalam

Terdahulu perlawanan bola sepak tiga penjuru itu antara lain bertujuan untuk mengutip dana bagi mangsa penindasan di Gaza, Palestin.

Acara tersebut yang melibatkan antara pasukan Akal Neraca Football Club (ANFC), Kelab PETRA dan Gabungan Ahli Parlimen telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM14,700 daripada pelbagai pihak.

Kutipan sumbangan itu kemudiannya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar untuk Dana Pembangunan Wakaf Gaza.

Akmal juga berkata, menariknya perlawanan bola sepak tiga penjuru tidak hanya melibatkan kelab penyokong kerajaan, bahkan ia membabitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Dalam kalangan gabungan Ahli Parlimen biarlah kita menonjolkan semangat ukhwah kekawanan dan akhirnya biarlah hujah yang kita sampaikan itu penuh bernas dan cergas bila kita sudah aktif.

“Ia lebih membina dan menjiwai keadaan di luar sana

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, walaupun berbeza pandangan politik, namun acara sukan seperti itu dapat menyatukan wakil rakyat.

“Selain bola sepak, kita ada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Saifuddin Abdullah daripada Bersatu dalam sukan bola jaring.

“Pasukan badminton lagi bercampur, kita ada pemain-pemain daripada Pas, UMNO, semua masuk.

“Bagi kita di kelab penyokong kerajaan, kita rasa di Parlimen kita bergaduh, pendapat kita pun berlainan, tapi main sukan kita bersatu sebagai Parlimen Malaysia.

“Ini membuatkan kerja kita lebih senang, kita boleh bincang lebih dan yang paling penting kita seronok, kita bermain sebagai satu pasukan Parlimen untuk (mewakili) rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here