KUALA LUMPUR – Pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) adalah prerogatif kerajaan untuk mencadangkan calon, manakala kuasa melantik terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata demikian susulan perdebatan mengenai kekosongan jawatan tersebut selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Sebagai bekas diplomat di Kedutaan Malaysia di Washington D.C. dari 2018 hingga 2021, kata Choo Seong yakin bahawa Kementerian Luar Negeri sedang dalam proses meneliti dan mencadangkan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan itu.
Katanya, AS merupakan rakan strategik utama Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan, pendidikan, teknologi, dan pelancongan.
“Pelantikan duta perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan individu yang dipilih mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Washington D.C. adalah pusat pentadbiran dunia, dan Malaysia memerlukan seorang ketua perwakilan yang bukan sahaja membawa imej baik negara, tetapi juga mampu mempertahankan kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Justeru, kerajaan perlu memilih individu berpengalaman dalam diplomasi serta memiliki rangkaian luas dalam hubungan antarabangsa. Selain itu, duta yang bakal dilantik harus mempunyai kemahiran komunikasi cemerlang, terutama dalam berinteraksi dengan pemimpin utama di Rumah Putih, Jabatan Negara AS, serta sektor kerajaan dan swasta negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Choo Seong juga menegaskan, pemahaman mendalam mengenai hubungan Malaysia-AS amat penting, termasuk aspek politik, ekonomi, perdagangan, pertahanan, dan kebudayaan antara kedua-dua negara.
JSelain itu katanya, keperibadian berwibawa serta rekod perkhidmatan bersih juga harus menjadi keutamaan agar individu yang dilantik dapat mewakili Malaysia dengan penuh profesionalisme dan integriti.
“Keupayaan menarik pelaburan serta memperkukuhkan perdagangan turut menjadi faktor utama, di samping kebolehan mengurus krisis dan menangani cabaran diplomatik secara tenang dan berkesan,” ujarnya. -MalaysiaGazette