KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding November 2024 (43,562 tan metrik).

China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9%), Emiriah Arab Bersatu (7.3%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Portugal (3.3%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding November 2024 (RM1.4 billion).

Menurutnya, pengeluaran getah asli menurun 5.1 peratus pada Disember 2024 (38,299 tan metrik) berbanding pada November 2024 (40,341 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus (Disember 2023: 30,342 tan metrik).

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.4%) berbanding sektor estet (10.6%).

Mohd Uzir berkata, jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2%) dan estet getah (0.1%).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus (Disember 2024: 699.35 sen sekilogram;
November 2024: 683.48 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Disember 2024: 757.28 sen sekilogram; November 2024: 728.68 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.2 peratus (daripada AS$1.93/kg kepada AS$1.99/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 4.1 peratus (daripada AS$2.29/kg kepada AS$2.38/kg).

Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 (93,956 tan metrik). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here